“Cukup-cukuplah bagi muka.., pemandu mabuk patut dihukum paling berat!” – Mufti Perlis

MUFTI Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyuarakan amaran keras terhadap pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah, sambil menegaskan bahawa mereka tidak wajar lagi diberi muka.
Dalam satu hantaran tegas di Facebook, Mohd Asri menuntut agar tindakan paling keras dikenakan terhadap individu yang menyebabkan kematian dan kecederaan akibat memandu dalam keadaan khayal, termasuk mereka yang meneguk todi dan arak murah.
“Jika tidak, geng dadah dan puak peminum todi dan arak akan anggap bahan-bahan haram itu sebagai lesen untuk mencabut nyawa orang lain,” tegas beliau.
Mufti itu juga menyentuh tentang tanggungjawab kerajaan, khususnya Kerajaan Madani, agar tidak hanya bercakap soal ketamadunan tetapi bertindak sewajarnya dalam menangani isu ini yang berlarutan sekian lama.
“Kita harap Kerajaan Madani yang sering berbicara tentang peradaban dapat bertindak tepat dalam isu ini,” katanya lagi.
Walaupun tidak merujuk kepada mana-mana insiden secara langsung, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kes kemalangan maut yang berlaku semalam di Jalan Johor Bahru–Kota Tinggi, Johor.
Mangsa yang maut adalah seorang lelaki yang sedang membantu seorang penunggang motosikal terbabas, sebelum dilanggar oleh sebuah kereta mewah BMW yang dipandu seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol. – MADANI NEWS