Buli: Pelajar junior dipaksa menari wadidaw, leher dicekik | Madani News

Buli: Pelajar junior dipaksa menari wadidaw, leher dicekik

Buli: Pelajar junior dipaksa menari wadidaw, leher dicekik

BERA – Polis telah memulakan siasatan berhubung kejadian buli terhadap pelajar junior di sebuah sekolah berasrama di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima pihaknya pada 13 April lalu daripada bapa mangsa yang mendakwa anaknya telah menjadi mangsa buli.

Beliau berkata, mangsa yang berumur 14 tahun memaklumkan kejadian berlaku semasa semua pelajar Tingkatan 1 hingga 3 dipanggil untuk menghadiri ‘roll call’ yang diarahkan oleh warden asrama bagi tujuan pemeriksaan bilik oleh Persatuan Jabatan Penguasa Asrama (JPA).

“Namun, lima pelajar telah mengambil alih sesi roll call tersebut dan bertindak membuli mangsa dengan memaksa pelajar itu menari ‘wadidaw’, iaitu sejenis tarian yang tular di media sosial.

“Mangsa turut mendakwa telah dicekik di bahagian leher oleh salah seorang suspek kerana berambut panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Zulkiflee, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan permohonan untuk menjalankan siasatan telah dibuat oleh pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Afifi Roslan di Pejabat Pendakwa Raya.

Tambah beliau, kes masih dalam siasatan dan polis memandang serius insiden seumpama itu, lebih-lebih lagi ia melibatkan pelajar sekolah berasrama penuh.

“Pihak polis akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bera bagi membanteras gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya. – MADANI NEWS