Anwar terima Ijazah Doktor Kehormat daripada Universiti Shenandoah, AS

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang undang-undang daripada Universiti Shenandoah, Amerika Syarikat.
Anugerah tersebut disampaikan Presiden Universiti Shenandoah Dr Tracy Fitzsimmons dalam satu majlis di Pusat Aktiviti Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak, di Kuala Lumpur.
Penganugerahan kedoktoran itu kepada Anwar adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Perdana Menteri dalam kepimpinan dan pembangunan masyarakat.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shaari.
Anwar ketika menyampaikan ucapan penghargaan berkata beliau menerima ijazah kedoktoran itu secara terbuka, dan berkata penganugerahan tersebut bukan kerana jawatannya sebagai perdana menteri.
“Universiti Shenandoah telah ditubuhkan lama sebelum saya menjadi perdana menteri, anugerah ini tidak diberikan kepada saya kerana kebetulan saya seorang perdana menteri, tetapi ia untuk kerja yang kita lakukan bersama bertahun-tahun, selama beberapa dekad, bekerja ke arah mempromosikan kebebasan dan maruah manusia,” katanya.
Selesai majlis berkenaan, Perdana Menteri kemudian menghadiri Program ‘Meet Anwar@IIUM: A Special Homecoming’ yang merupakan platform dialog terbuka antara Perdana Menteri dan warga kampus, khususnya penuntut universiti.
UIAM dalam kenyataan memaklumkan hampir 3,000 warga universiti berkenaan hadir di program itu yang merangkumi mahasiswa, pensyarah dan kakitangan pentadbiran dari dalam dan luar negara.
“Kehadiran Anwar ke UIAM membawa makna istimewa kerana beliau pernah memegang jawatan sebagai Presiden UIAM yang kedua dari 1988 hingga 1999.
“Kehadirannya disifatkan sebagai “sirih pulang ke gagang”, mengenangkan banyak pembangunan pesat infrastruktur UIAM telah dicetuskan semasa era kepimpinan beliau sebagai Presiden UIAM,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA