"40 tahun tanah dirampas tanpa tindakan" - PAS Pahang tuntut RCI siasat pencerobohan tanah Musang King | Madani News

“40 tahun tanah dirampas tanpa tindakan” – PAS Pahang tuntut RCI siasat pencerobohan tanah Musang King

“40 tahun tanah dirampas tanpa tindakan” – PAS Pahang tuntut RCI siasat pencerobohan tanah Musang King
Gambar media sosial

PAS Pahang hari ini tampil dengan gesaan tegas agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyelongkar isu pencerobohan tanah kerajaan secara besar-besaran yang berlaku di Raub, Pahang – melibatkan ribuan ekar tanah yang diteroka secara haram untuk penanaman pokok durian Musang King.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, menyifatkan isu itu bukanlah melibatkan petani kecil seperti yang sering digambarkan, tetapi satu jenayah terancang yang telah dibiarkan berleluasa selama hampir empat dekad.

“Bayangkan jika anda memiliki sebidang tanah, kemudian seseorang datang, merampas dan mengusahakannya selama 40 tahun, dan kini ada pula pihak ketiga yang menandatangani petisyen meminta agar perampas itu dibenarkan terus merampas harta anda.

“Adakah ini adil? Adakah ini yang dipanggil keadilan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rosli, berdasarkan Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, tindakan menceroboh tanah kerajaan atau hutan simpan adalah jenayah serius yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda maksimum RM500,000.

Namun katanya, kehadiran kumpulan Save Musang King Alliance (Samka) yang mengumpul 400 tandatangan bagi menghentikan operasi penguatkuasaan hanya menunjukkan betapa rata-rata pihak mula berani mencabar kedaulatan undang-undang.

“Seperti kumbang yang mendekati api, mereka yang menandatangani petisyen ini sedang bermain dengan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Rosli yang juga Adun Tanjung Lumpur turut mempersoalkan bagaimana kegiatan berskala besar seperti ini boleh berlaku tanpa tindakan selama 40 tahun. Beliau mengesyaki ada pihak-pihak tertentu yang bersubahat atau melindungi peneroka haram berkenaan.

“Kami menuntut agar sebuah RCI dibentuk dengan segera untuk menyiasat bagaimana kegiatan pencerobohan berskala besar ini dapat berlangsung selama 40 tahun tanpa tindakan.

“Semua pihak yang terlibat – daripada penceroboh hingga pegawai-pegawai yang berkompromi – harus ditahan, disiasat dan didakwa tanpa kompromi kerana inilah satu-satunya cara untuk mengembalikan kedaulatan undang-undang dan menghormati titah Sultan Pahang,” katanya.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews