Wartawan Malaysiakini didakwa di mahkamah Jumaat ini - SPRM | Madani News

Wartawan Malaysiakini didakwa di mahkamah Jumaat ini – SPRM

Wartawan Malaysiakini didakwa di mahkamah Jumaat ini – SPRM
WARTAWAN Malaysiakini yang ditahan SPRM sebelum ini.

WARTAWAN Malaysiakini B Nantha Kumar akan didakwa atas tuduhan menerima rasuah RM20,000 daripada seorang ejen warga Pakistan.

Nantha yang sebelum ini menafikan dakwaan itu, berkata dia dimaklumkan oleh SPRM hari ini yang dia akan dihadapkan dengan pertuduhan.

“Saya yakin saya akan dibuktikan tidak bersalah. Ini adalah cubaan untuk membungkam saya dan menghalang saya daripada terus mendedahkan rasuah,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Ketua Pengarang Eksekutif Malaysiakini, RK Anand sekali lagi menegaskan sokongan portal berita itu terhadap Nantha, dan menekankan dia tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Kami juga sedang menjalankan siasatan dalaman dengan pihak luar mengenai perkara ini dan akan mendedahkan dapatan kami kepada umum,” kata Anand.

Anand turut menyorot sumbangan Nantha sejak menyertai Malaysiakini pada 2018, dengan menyifatkannya sebagai seorang wartawan cemerlang, yang mana siasatannya menjadi berita utama yang mendapat perhatian.

“Laporannya yang berani mengenai sindiket yang dikaitkan dengan pekerja asing telah menjadi faktor utama dalam pendedahan isu-isu penting,” katanya lagi.

Dia juga menegaskan komitmen Malaysiakini yang tidak berbelah bahagi terhadap integriti kewartawanan, ketelusan dan pelaporan yang beretika.

Dedah sindiket pekerja asing

Pada 7 Mac lalu, Malaysiakini menyiarkan artikel Nantha mengenai rentetan peristiwa yang membawa kepada penangkapannya pada 1 Mac.

Wartawan kanan itu menafikan dakwaan dia meminta RM100,000 daripada seorang warga Pakistan mahupun merundingkan jumlah itu kepada RM20,000.

Nantha menyatakan dia sedang bekerjasama dengan seorang pengarah imigresen negeri untuk mendedahkan sindiket pekerja asing.

Sementara menunggu hasil siasatan panel bebas, Malaysiakini telah menggantung tugas Nantha dengan faedah penuh.

MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di 
https://linktr.ee/madaninews