Shell Recharge Kini Hubungkan Pantai Timur & Barat, Rebat Istimewa Sempena Musim Perayaan!

BIMBANG kenderaan elektrik (EV) anda tidak dapat berjalan bila balik kampung, terutama di Pantai Timur? Berita ini sudah tentu akan melegakan anda sedikit.
Rangkaian pengecas kenderaan elektrik (EV) berprestasi tinggi Shell Recharge kini semakin mantap dengan siapnya pengecas HPC terbaru di Kawasan Rehat Paka, sekaligus menghubungkan sepenuhnya laluan antara Pantai Barat dan Pantai Timur.
Pengecas Berkuasa Tinggi di Lebuhraya Pantai Timur
Pengecas baharu ini melengkapkan rangkaian Shell Recharge di Lebuhraya Pantai Timur, membolehkan pemandu EV mengisi tenaga sebelum meneruskan perjalanan ke Kelantan atau kembali ke Pantai Barat.
Dilengkapi pengecas DC berkapasiti 180kW, ia membolehkan pengecasan ultra pantas, terutama bagi kenderaan dengan sistem 800V seperti Porsche Taycan, yang mampu dicas dari 10-80% dalam hanya 18 minit. Jika dua kenderaan dicas serentak, kuasa akan diagihkan kepada 90kW setiap satu.
Shell turut mengumumkan bahawa satu lagi pengecas HPC sedang dibangunkan di Kawasan Rehat Temerloh (hala Kuala Lumpur) bagi melengkapkan lagi jaringan pengecasan di laluan ini.
Rebat Istimewa Sempena Musim Perayaan
Sempena musim perayaan ini, Shell Recharge menawarkan rebat eksklusif untuk pengecasan HPC di Lebuhraya Pantai Timur dari 24 Mac hingga 4 April 2025.
* Keahlian Parkeasy Platinum – 100% rebat
* Keahlian Gold & pengguna biasa – 50% rebat
Rebat ini akan dikreditkan kepada pengguna selepas kempen berakhir, menjadikan perjalanan musim perayaan lebih jimat dan lancar untuk pengguna EV.
Dengan perkembangan ini, Shell Recharge terus memperkukuh infrastruktur pengecasan EV di Malaysia, memudahkan pemandu melakukan perjalanan jauh dengan lebih yakin dan selesa.