Meriahkan tradisi Ramadan dan Aidilfitri dengan Resipi Dari Hati MFM

KUALA LUMPUR – Malayan Flour Mills Berhad (MFM) melancarkan kempen “Resipi Dari Hati MFM, Dari Dulu Hingga Kini” sebagai penghargaan terhadap resipi tradisi yang mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memperkukuh silaturahim sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut MFM, kempen itu menekankan kepentingan memelihara resipi keluarga, menghubungkan generasi serta meraikan budaya berkongsi hidangan yang disediakan dengan penuh kasih sayang.
“Sebagai jenama tepung yang telah bertapak sejak 1966, produk MFM seperti MFM Cap Ros menjadi sebahagian daripada warisan keluarga di Malaysia.
“Selama lebih enam dekad, tepung ini telah menjadi pilihan utama dalam penyediaan pelbagai resipi turun-temurun yang menyatukan kenangan masa lalu dan masa kini,” kata MFM dalam kenyataan media, hari ini.
MFM menambah, tepung MFM Cap Ros bukan sekadar bahan masakan, tetapi lambang kesinambungan yang membolehkan keluarga menghasilkan semula rasa asli warisan mereka.
Menurutnya, tepung itu dihasilkan melalui proses ketat bagi mengekalkan kualiti, tepung ini diperkaya dengan vitamin B1, B2, niasin dan zat besi, menjadikannya pilihan terbaik untuk kuih-muih tradisional seperti Kuih Lapis, Almond London dan Kuih Bahulu.
MFM berkata, kempen tersebut turut menekankan bahawa memasak bersama bukan sekadar menyediakan makanan, tetapi juga mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Sama ada nenek mengajar cucu menguli doh atau adik-beradik berganding bahu membuat kuih raya, dapur menjadi ruang untuk berkongsi cerita, ketawa dan kasih sayang,” jelasnya.
MFM memberitahu, sebagai sebahagian daripada budaya Malaysia, pewarisan resipi keluarga menjadi tradisi yang tidak ternilai.
“Kempen ini menggalakkan setiap keluarga menyelak kembali buku resipi lama dan mencipta kenangan baharu melalui pengalaman memasak bersama.
“Sama ada mengekalkan keaslian atau menambah sentuhan moden pada resipi klasik, setiap sajian mencerminkan kisah warisan dan kasih sayang,” ujarnya.
Bagi memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia, MFM berkongsi tiga resipi kegemaran untuk musim perayaan ini:
- Kuih Almond London – Biskut ikonik yang sering dinikmati ketika Aidilfitri, melambangkan kemurahan hati dan keharmonian.
- Kuih Lapis Legit – Sajian yang menuntut kesabaran dan melambangkan keindahan tradisi yang tidak lapuk dek zaman.
- Kuih Bahulu Cheesecake – Gabungan moden dan klasik yang menyatukan inovasi serta warisan.
“Tepung MFM Cap Ros bukan sekadar tepung, ia mempunyai pengertian tersirat dalam setiap keluarga kita.
“Apabila seorang nenek mengajar cucunya cara membuat Kuih Lapis, ia bukan sekadar memasak, tetapi satu warisan yang dikongsikan,” kata MFM.
Sehubungan itu, MFM mengajak semua keluarga untuk meraikan kasih sayang melalui hidangan yang dimasak bersama sempena Ramadan dan Aidilfitri ini.
“Dapur bukan sekadar tempat memasak, tetapi ruang di mana kenangan dicipta, tradisi dihormati dan kasih sayang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya,” tambahnya. – MADANI NEWS