KWSP umum dividen 6.30% untuk Simpanan Konvensional dan Shariah pada 2024

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30% bagi Simpanan Konvensional, dengan jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion dan 6.30% bagi Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan sebanyak RM10.19 bilion.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion, kata KWSP dalam kenyataan di media sosialnya.
Pengumuman dividen hari ini merupakan kadar tertinggi sejak tahun 2017 dan kali pertama dividen simpanan konvensional dan shariah dalam peratusan yang sama.
Sebagai rekod, kadar dividen bagi tahun 2023 untuk Simpanan Konvensional adalah 5.50 peratus manakala 5.40 peratus untuk Simpanan Shariah.
Dividen bagi 2022 sebanyak 5.35 peratus bagi simpanan Konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan Shariah.
Dividen paling tinggi pernah diagihkan KWSP adalah 8.5 peratus iaitu dari 1983 hingga 1987.
Pengkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah akan selesai esok, 2 Mac 2025 dengan ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara. – MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews