Kes Ismail Sabri: 36 saksi selesai dirakam keterangan, 23 menyusul - SPRM | Madani News

Kes Ismail Sabri: 36 saksi selesai dirakam keterangan, 23 menyusul – SPRM

Kes Ismail Sabri: 36 saksi selesai dirakam keterangan, 23 menyusul – SPRM
Gambar FB Ismail Sabri

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan keterangan 36 saksi bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber SPRM berkata 23 lagi saksi baru sudah dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.

“Saksi yang dirakam keterangan termasuk empat bekas pegawai kanan kepada Ismail Sabri yang sebelum ini direman dan dibebaskan dengan jaminan SPRM.

“Empat saksi pula masih dalam proses rakaman keterangan ketika ini,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, sumber berkenaan turut memaklumkan proses merakam keterangan Ismail Sabri – yang dijadualkan 13 Mac ini – bergantung kepada tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera terbabit pada hari berkenaan.

“Sekiranya sihat, beliau boleh diambil keterangan,” katanya memetik laporan Bernama.com.

Bekas perdana menteri kesembilan itu dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta selepas rebah secara tiba-tiba di rumahnya pada 21 Feb lepas.

Pada 3 Mac lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah ‘safe house’ susulan serbuan dilakukan agensi berkenaan.

SPRM juga menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN

Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews