Jurulatih baru senarai 27 pemain Harimau Malaya, Faisal dan Sumareh jadi bualan | Madani News

Jurulatih baru senarai 27 pemain Harimau Malaya, Faisal dan Sumareh jadi bualan

Jurulatih baru senarai 27 pemain Harimau Malaya, Faisal dan Sumareh jadi bualan

SETELAH memiliki jurulatih baru dari Australia yang diletakkan harapan tinggi untuk meneruskan kecemerlangan Kim Pan Gon, seramai 72 nama pemain disenaraikan untuk menganggotai skuad Harimau Malaya kali ini yang menyaksikan beberapa kejutan, termasuk muka baru.

Antara pemain yang paling hangat diperkatakan ialah kembalinya penyerang berbisa negara, Faisal Halim yang berehat panjang sebelum ini kerana menghadapi kecederaan akibat disimbah asid di samping pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh yang juga telah lama tidak beraksi dalam Liga Malaysia.

Pasukan Harimau Malaya menghadapi perlawanan pertama Kumpulan F kempen kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac ini.

Apa yang menghampakan ialah para peminat mengharapkan jurulatih, Peter Cklamovski akan menyeranaikan beberapa pemain naturalisasi atau warisan baharu seperti yang diwar-warkan sebelum ini, sebaliknya memanggil pemain-pemain lama yang pernah beraksi dengan pasukan negara.

Cklamovski menjelaskan ketiadaan pemain warisan baharu dalam senarai berkenaan adalah disebabkan urusan untuk mendapatkan pasport mereka masih belum selesai.

Pengendali dari Australia itu menjelaskan, kemungkinan perkembangan mengenai status pemain warisan itu akan diumumkan minggu depan.

“Proses untuk pemain warisan baharu di peringkat akhir, saya fikir berita yang positif akan hadir minggu depan. Siapa pun yang bermain di atas padang, mereka adalah pemain Malaysia.

“Saya difahamkan kertas kerja di peringkat akhir dan mungkin pasukan kebangsaan akan membuat pengumuman mungkin minggu depan,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Antara nama yang kembali membarisi pasukan walaupun tidak menyertai ASEAN Championship 2024 ialah Dion Cools, Natxo Insa, Afiq Fazail, Romel Morales, Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.

Manakala, muka baru dalam skuad Harimau Malaya kali ini ialah pemain pertahanan Selangor FC, Zikri Khalili.

Cklamovski turut memilih mengekalkan beberapa tonggak yang beraksi dalam saingan ASEAN Championship 2024.

Antara yang dikekalkan ialah Paulo Josue, Endrick dos Santos, Safwan Mazlan, Haqimi Azim Rosli dan Stuart Wilkin.

Selain itu, Cklamovski turut mencipta sensasi dengan memanggil semula Faisal Halim, Nazmi Faiz Mansor, Mohamadou Sumareh, Shahrul Saad dan Quentin Cheng.

Faisal kembali tersenarai buat kali pertama sejak aksi menentang Oman pada Mac 2024. Nazmi dipanggil selepas kali terakhir mewakili Harimau Malaya pada September 2022.

Sumareh turut tersenarai selepas membawa nama negara di pentas Piala Asia 2023. Shahrul dan Quentin masing-masing kembali buat kali pertama sejak Mac 2024 dan Oktober 2023.

Malaysia bakal menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk aksi pertama kelayakan Piala Asia 2027.

KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews