'No way' KJ, Shahril…Mereka yang keluar sekejap, boleh keluar selama-lamanya, kata Zahid | Madani News

‘No way’ KJ, Shahril…Mereka yang keluar sekejap, boleh keluar selama-lamanya, kata Zahid

‘No way’ KJ, Shahril…Mereka yang keluar sekejap, boleh keluar selama-lamanya, kata Zahid

WALAUPUN ada pemimpin muda UMNO menyatakan parti itu sentiasa bersikap terbuka untuk menerima kembali pemimpin yang pernah berjasa termasuk Khairy Jamaluddin, tetapi Presidennya, Datuk Seri Zahid Hamidi berpandangan sebaliknya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebelum ini dilaporkan berkata Zahid menunjukkan jiwa besar apabila dapat menerima kembali Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ke pangkuan parti itu walaupun merupakan antara pemimpin yang sentiasa menghentam Presiden.

“Jika Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan, Noh Omar atau sesiapa sahaja yang ingin sertai parti boleh mohon semula,” kata Akmal sebelum ini.

Bagaimanapun Zahid tidak sependapat dengan Akmal kerana baginya, “mereka yang telah meninggalkan parti boleh terus ‘duduk di luar selama-lamanya’ manakala yang masih kekal perlu menunjukkan taat setia kepada pimpinan.”

Bercakap dalam program audio siar TV3 hari ini, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata tidak guna jika UMNO mempunyai ahli paling ramai tetapi menjadi ‘buih di lautan’.

“UMNO ada 26 kerusi, mana tidak mengecil jika di dalam berpecah, sebab itu matlamat saya sekarang adalah menyatukan semula ahli akar umbi.

“Mereka yang telah tinggalkan parti silakan terus (berada di luar)… yang keluar sekejap, keluar selama-lamanya pun tak apa. Jika ada gunting dalam lipatan, ada kaduk naik junjung saya fikir orang ini tidak diperlukan.

“Biarlah sedikit ahli UMNO tetapi mereka adalah yang taat setia kepada parti, jumlah yang banyak kita tidak mahu jadi buih di lautan. Biar sedikit,” katanya.

Beliau tidak menamakan pemimpin yang dikatakan ‘keluar sekejap’ itu. Bagaimanapun, bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin popular dengan program audio siar ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikan bersama bekas ketua penerangan UMNO Shahril Hamdan.

Khairy antara pemimpin UMNO dipecat pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti ketika PRU15.

Zahid menegaskan beliau bukan seorang pemimpin kuku besi apabila semua dasar dan keputusan parti dibuat secara bersama.

“Dalam keadaan ini proses membuat keputusan saya lakukan sebaik-baiknya kerana saya bukan seorang diktator, seorang pemimpin kuku besi.

“Kita boleh bincang, yang penting UMNO susun strategi agar kita dominan semula,” katanya. – MADANINEWS