"KEJAM dan TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN" - Sultan Pahang titah pembunuh peniaga makanan diberkas segera | Madani News

“KEJAM dan TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN” – Sultan Pahang titah pembunuh peniaga makanan diberkas segera

“KEJAM dan TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN” – Sultan Pahang titah pembunuh peniaga makanan diberkas segera

“KEJAM dan tidak berperikemanusiaan.” Demikian titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai kejadian peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37, yang ditemui mati disyaki dibunuh di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, semalam.

Baginda, dalam satu kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang, hari ini mahu suspek pembunuhan itu segera diberkas dan dikenakan hukuman setimpal jika disabitkan kesalahan.

Baginda pada Jumaat berkenan bercemar duli berangkat menziarahi keluarga mangsa bunuh, Norshamira Zainal, 37, di Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah sempat menitipkan titah nasihat dan kata-kata semangat kepada suami mangsa, Mohammad Afiq Akmal Nudin, 31.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita yang juga peniaga makanan ditemui mati disyaki dibunuh di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada Khamis.

Mayat mangsa berusia 37 tahun ditemui seorang lelaki sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Jenazah Norshamira dituntut keluarga kira-kira jam 2.30 petang sebelum dibawa ke Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota untuk dimandikan sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Felda Keratong 9, Rompin untuk dikebumikan. – MADANINEWS