Kedah buktikan Awang import bukan segalanya, pemain tanpa gaji hampir singkir PDRM | Madani News

Kedah buktikan Awang import bukan segalanya, pemain tanpa gaji hampir singkir PDRM

Kedah buktikan Awang import bukan segalanya, pemain tanpa gaji hampir singkir PDRM

KEDAH DARUL AMAN FC (KDA FC) yang hanya dibarisi seorang pemain import dengan rata-rata pemain muda tempatan membuktikan memiliki pemain import bukan jawapan kepada peningkatan mutu bola sepak apabila nyaris layak ke final kejohanan Piala Cabaran 2024/25.

KDA FC yang kehilangan empat pemain import dan beberapa pemain seniot tempatan kerana masalah dalaman terpaksa menamatkan perjalanan mereka apabila tewas di tangan PDRM FC menerusi keputusan penalti 4-5 selepas terikat secara agregat 4-4 di Stadium Darul Aman, Kedah, malam tadi.

Sang Kenari yang menjaringkan gol terlebih dahulu dalam aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran itu terpaksa berjuang habis-habisan selepas Shafizi Iqmal menjadi wira PDRM menjaringkan gol penyamaan di waktu kecederaan untuk mengheret aksi tersebut sehingga sepakan penalti.

Keputusan itu menyaksikan Kedah selaku tuan rumah terpaksa menggigit jari selepas hampir mengatasi PDRM yang dibarisi beberapa pemain import ternama dengan aksi di laman sendiri di hadapan lebih 3,000 penyokong.

Namun begitu, usaha yang dipamerkan anak-anak buah Victor Andrag wajar mendapat pujian sepenuhnya selepas pelbagai isu dihadapi oleh skuad kendaliannya itu terutama pemain bermain dalam keadaan dibayar gaji selama berbulan-bulan berjaya untuk sampai ke pentas separuh akhir.

Walaupun tewas, para penyokong Kedah yang sebelum ini mengkiritik pengurusan dan para pemain kerana tidak mempamerkan permainan terbaik kali ini memberi pujian kepada komitmen pemain-pemain dengan berharap agar pihak pengurusan berjaya melakukan sesuatu demi masa depan bola sepak Kedah.

“‘Salute’ untuk semua pemain dan staf yang berjuang semalam (1 Februari), anda memang terbaik. Ubi-ubi (pemain) muda pun bagus, semoga ada sinar untuk pasukan Hijau Kuning selesaikan segala kemelut yang sedang melanda pasukan,” kata Mohd Kamal Azira.

Untuk rekod, musim ini Kedah kehilangan empat pemain import iaitu Habib Haroon, Cleyton da Silva, Sony Norde dan Sukhrob Nurulloev.

Manakala bintang lokal yang menarik diri daripada terus beraksi bersama Kedah ialah Irfan Zakaria, Rizal Ghazali, Syafiq Ahmad, Ariff Farhan dan Kalamullah Al-Hafiz.

Kedah selepas ini akan memberikan segala tumpuan untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam Liga Super dengan Negeri Sembilan FC menjadi cabaran pertama pada 26 Februari nanti. – MADANINEWS