Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat | Madani News

Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat

Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan program Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat pada 27 Februari ini sebagai manifestasi solidariti rakyat negeri ini kepada Institusi Diraja Pahang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, program tersebut bertujuan menyatukan rakyat negeri ini di bawah naungan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

“Program ini akan diadakan pada Khamis bermula pukul 7 malam di Masjid Negeri dan dimulai dengan solat maghrib, solat hajat, bacaan Yasin, doa selamat dan solat isyak.

“Seterusnya, program diteruskan di Padang MBK1 dengan ceramah oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Sultan Pahang berkenan berangkat mencemar duli menghadiri program tersebut di Masjid Negeri.

“Orang ramai dijemput hadir dan digalakkan memakai pakaian kebangsaan, manakala sebarang pakaian berlambang atau mewakili parti politik adalah tidak dibenarkan,” ujarnya.

Zulkifli menambah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan keselamatan sepanjang program berlangsung dan orang ramai diminta tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni.

“Kerajaan Negeri berharap agar program ini mencapai objektif menyatukan rakyat dalam memartabatkan institusi Raja Berdaulat di Negeri Pahang Darul Makmur.

“Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan Allah SWT,” katanya. – MADANI NEWS